realme dilaporkan kembali beroperasi sebagai sub-jenama di bawah OPPO susulan penstrukturan semula dalaman melibatkan bekas konglomerat BBK Electronics. Laporan tersebut diperoleh berdasarkan maklumat daripada sumber dalaman OPPO. Menurut laporan, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Realme, Sky Li, akan kekal memegang jawatan sedia ada dan terus mengetuai realme, namun kini di bawah pengurusan OPPO sebagai sub-jenama rasmi.
Penstrukturan ini bertujuan mengukuhkan kerjasama dalaman antara OPPO, realme dan OnePlus selain meningkatkan kecekapan pengurusan sumber serta menyokong strategi pengembangan global Oppo. Dalam susunan baharu, OPPO akan bertindak sebagai jenama utama manakala OnePlus dan realme berfungsi sebagai sub-jenama pelengkap dengan strategi pemasaran masing-masing.
Laporan sama menegaskan bahawa perubahan organisasi ini tidak menjejaskan perancangan pelancaran produk realme dengan semua peranti akan dilancarkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Selain itu, realme juga akan disepadukan ke dalam sistem perkhidmatan selepas jualan OPPO yang merangkumi lebih 5,000 kedai fizikal di seluruh China.
Untuk rekod, realme mula diperkenalkan sebagai sub-jenama OPPO pada Mei 2018 sebelum menjadi jenama bebas pada tahun yang sama. BBK Electronics yang sebelum ini menaungi OPPO, vivo, OnePlus, iQOO dan realme, berpecah pada 2023 dan digantikan oleh entiti berasingan iaitu OPPO, vivo dan imoo sebagai pengeluar jam pintar kanak-kanak.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

