Site icon TechNave BM

realme mungkin akan memperkenalkan siri “Note” dengan realme Note 50

Selepas Samsung mengabaikan jenama “Note” untuk siri telefon pintarnya, kini realme pula mungkin merancang untuk memperkenalkan siri telefon baharu yang mempunyai jenama “Note”, bermula dengan realme Note 50.

Menurut data daripada Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Kebangsaan (NBTC) Thailand, mereka telah memberi pengiktirafan kepada sebuah telefon realme dengan nama realme Note 50 yang mempunyai nombor model RMX3834. Jika benar, ia bakal menjadi telefon realme pertama yang menggunakan penjenamaan “Note”.

Pada tahun lalu, sebuah telefon dengan nombor model RMX3834 juga telah diterbitkan dalam data Suruhanjaya Ekonomi Eurasia (EEC) pada bulan November.

Pengiktirafan NBTC
Pengiktirafan EEC

Setakat ini, spesifikasi realme Note 50 masih tidak diketahui. Memandangkan siri realme C disasarkan kepada pasaran mampu milik, siri realme Number Series kepada pasaran telefon kelas pertengahan dan siri realme GT kepada pasaran telefon berprestasi tinggi, adakah realme akan memperkenalkan siri realme Note sebagai telefon yang dikhaskan untuk golongan profesional seperti Samsung Galaxy Note sebelum ini?

Setakat ini masih tiada maklumat rasmi daripada realme mengenai sebarang peranti bernama realme Note. Jika ia dilancar di Thailand, besar kemungkinan ia akan turut diperkenalkan untuk pasaran Malaysia.

Untuk makluman, sebuah lagi jenama telefon yang menggunakan nama “Note” adalah Redmi, dengan siri Redmi Note yang selalunya dilengkapi spesifikasi yang agak bagus dengan harga yang ditawarkan.

Adakah anda berminat dengan sebuah peranti bernama realme Note? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version