Site icon TechNave BM

realme Note 50 dikesan dalam senarai SIRIM, akan dilancar di Malaysia tidak lama lagi

Nampaknya, persoalan daripada artikel semalam telahpun mendapat jawapannya. Kini, terdapat sumber mengatakan bahawa realme Note 50 akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Pada 18 Januari 2024, realme Note 50 telah mendapat pensijilan SIRIM dengan nombor model RMX3834.

Telefon ini merupakan sebahagian daripada barisan baharu yang akan menawarkan peranti peringkat permulaan dalam julat harga AS$100 (~RM473) dan ke bawah. Ia akan dikuasakan oleh cipset Unisoc T612, RAM 4GB dan storan dalaman 64GB yang boleh dibesarkan dengan kad memori microSD. Baterinya berkapasiti 5,000mAh dan menyokong kadar pengecasan 10W melalui port USB-C.

Kameranya pula terdiri daripada kamera utama 13MP dan sensor monokrom, manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 5MP. Secara asasnya, telefon ini adalah realme C51 yang dipertingkatkan sedikit. Ia akan ditawarkan dalam warna Midnight Black atau Sky Blue. Badan telefon ini mempunyai penarafan kalis air dan debu IP54, pengimbas cap jari bahagian sisi dan bicu audio 3.5mm.

Namun, tarikh pelancarannya masih tidak diketahui tetapi kami menjangka ia akan dilancarkan sebelum tamatnya bulan Januari ini. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version