Site icon TechNave BM

realme Pad Mini lulus pensijilan NBTC, dedahkan spesifikasi kamera dan mungkin miliki cipset Unisoc

realme melancarkan tablet pertamanya yang digelar realme Pad pada September lalu dan Naib Presidennya, Madhav Sheth, baru-baru ini berkata bahawa syarikatnya akan melancarkan lebih banyak tablet pada tahun 2022.

Walaupun realme masih belum mendedahkan maklumat tentang tabletnya tahun ini, namun terdapat berita mengenai kehadiran realme Pad Mini yang mungkin diumumkan dalam masa satu atau dua bulan akan datang kerana ia telah diperakui oleh pensijilan NBTC Thailand.

Pihak berkuasa pensijilan Thailand tidak memperincikan spesifikasi yang terdapat pada realme Pad Mini (RMP2105) tetapi ia memberitahu kami bahawa tablet itu akan menyokong sambungan LTE. Walau bagaimanapun, adalah selamat untuk mengandaikan bahawa realme Pad Mini juga akan mempunyai model Wi-Fi sahaja.

realme Pad Mini juga muncul di Geekbench yang mendedahkan spesifikasi utamanya termasuk dilengkapi cipset Unisoc, RAM 3GB dan Android 11. Selain itu, Camera FV-5 mendedahkan realme Pad Mini akan menampilkan kamera 8MP di belakang dan kamera 5MP di hadapan.

Butiran lanjut tentang realme Pad Mini akan muncul dalam beberapa minggu akan datang. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: GSMArena

Exit mobile version