Site icon TechNave BM

realme Pad X, Watch 3 dan GT Neo 3T akan dilancar di Malaysia pada 23 Ogos 2022

realme Malaysia mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan beberapa peranti penting sempena acara realme 828 Launch Event yang akan berlangsung pada hari Selasa, 23 Ogos 2022. Peranti-peranti tersebut adalah tablet realme Pad X, jam tangan realme Watch 3 dan telefon pintar realme GT Neo 3T.

realme Pad X adalah tablet 5G pertama daripada realme dan spesifikasinya terdiri daripada skrin LCD 10.95 inci dengan resolusi 1200×2000, cipset Snapdragon 695, bateri 8,340mAh, pengecasan pantas 33W dan kamera utama 13MP. Ia telah pun dilancar di China pada bulan Mei lalu.

realme GT Neo 3T

realme GT Neo 3T pula adalah varian baharu untuk realme GT Neo 3. Berlainan dengan GT Neo 3 asal yang mempunyai jalur di belakangnya, GT Neo 3T mempunyai corak kotak-kotak kecil yang menyerupai bendera yang digunakan dalam litar lumba sewaktu pusingan litar terakhir. Ia telah dilancar untuk pasaran antarabangsa pada bulan Jun lalu.

realme Watch 3 adalah seutas jam tangan yang dikhaskan untuk sukan, di mana pengguna boleh mengaktifkan pelbagai fungsi senaman dan kesihatan bagi meneliti tahap kesihatan mereka. Ia dilengkapi skrin 1.8 inci, 110 mod sukan dan rangka yang dibuat daripada besi. Jam ini telah pun dilancar di India pada bulan Julai lalu.

Selain tiga produk ini, realme Malaysia juga akan menganjurkan promosi realme 828 Fan Festival pada 28 Ogos 2022.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan mana-mana produk di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version