Site icon TechNave BM

realme umumkan C3, peranti kelas permulaan dengan bateri 5,000mAh dan realme UI

realme hari ini mengumumkan telefon pintar kelas permulaan baru, realme C3, dalam sebuah sidang media di India. Telefon itu dilengkapi paparan HD+ 6.5 inci dengan sempadan yang lebih kecil, cipset Mediatek Helio G70, RAM 4GB dan storan sehingga 64GB.

Selain itu, terdapat juga sebuah notch berbentuk titisan air di bahagian atas skrin yang juga merupakan kamera hadapan 5MP. Kamera utama realme C3 terdiri daripada kanta 12MP f/1.8 dan sensor kedalaman 2MP f/2.4.

Telefon itu akan beroperasi dengan antara muka realme UI yang berdasarkan Android 10. Ini adalah antara telefon realme terawal yang dilengkapi antara muka itu dan Android 10 terus daripada kilang. UI itu menjanjikan paparan warna yang menyerlah dan sistem keselamatan maklumat peribadi.

Walaupun ia telefon kelas permulaan, kapasiti baterinya agak besar iaitu 5,000mAh. Ia juga mempunyai bicu audio 3.5mm dan penghubung microUSB. Pelanggan boleh memilih antara dua warna, Blazing Red atau Frozen Blue. Sewaktu artikel ditulis, telefon ini hanya akan dipasarkan di India bermula 14 Februari dengan harga INR6,999 (RM405) untuk 3GB+32GB dan INR7,999 (RM462) untuk 4GB+64GB.

Buat mereka yang masih belum memiliki telefon, adakah anda berminat untuk memilih realme C3 sebagai telefon pertama anda? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version