Sempena ulang tahunnya yang ketujuh, realme hari ini mengumumkan sebuah teknologi yang sangat unik iaitu 15,000mAh Ultra-High-Density Battery. Dengan kapasiti bateri sebesar itu, realme mengatakan ia boleh menyediakan tenaga kepada sebuah telefon sehingga lima hari, atau memainkan video sehingga 53 jam.
Bateri ini menggunakan teknologi silicon anode 100% untuk mencapai ketumpatan tenaga 1,200 Wh/L iaitu ketumpatan tenaga tertinggi yang pernah dicapai dalam telefon pintar. Walaupun kapasitinya tidak setinggi 33,000mAh dalam telefon Oukitel WP100 Titan, ketumpatan yang tinggi itu bermaksud realme mampu menghasilkan telefon dengan kapasiti bateri besar sambil mengekalkan reka bentuk yang nipis.
Selain teknologi bateri di atas, realme turut mengumumkan telefon pintar realme Chill Fan Phone. Ia merupakan sebuah peranti yang mengutamakan prestasi penyejukan sewaktu bermain game, di mana ia dilengkapi kipas dalaman dengan penyejuk thermoelectric (TEC).
Ini merupakan sesuatu yang kerap terdapat pada aksesori kipas luaran untuk telefon pintar, namun kini realme telah mencipta semula konsep tersebut di mana ia boleh dimuatkan ke dalam sebuah telefon. Ia mampu mengurangkan suhu teras secara aktif sebanyak 6°C sewaktu penggunaan intensif.
realme mengatakan telefon ini mampu memainkan game popular dengan tetapan grafik tinggi seperti Honkai: Star Rail dan Genshin Impact pada kadar bingkai yang tinggi tanpa sebarang throttling, bermaksud anda boleh nikmati game dengan lancar dan sekata.
realme memperkenalkan teknologi bateri dan telefon konsep baharu ini bagi memenuhi permintaan para pengguna yang semakin meningkat. Buat masa ini, realme masih belum mengumumkan jika mereka akan menjual mana-mana produk ini secara komersial.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

