Site icon TechNave BM

realme Watch 3 dilancar di Malaysia: Skrin 1.8″, bateri 340mAh & sokong panggilan Bluetooth berharga RM199

Sebentar tadi, realme telah melancarkan beberapa peranti termasuk realme Watch 3 yang disiarkan secara langsung di halaman Facebook realme Malaysia. Ia berharga RM239 tetapi anda boleh mendapatkannya pada harga promosi RM199 dari 23 hingga 25 Ogos 2022 yang dijual secara eksklusif di Shopee.

realme Watch 3 memuatkan skrin besar berukuran 1.8 inci, bingkai logam reflektif dan penutup belakang melengkung. Antara peningkatan ketara pada Watch 3 adalah panggilan Bluetooth yang dipertingkatkan oleh cip Bluetooth dwi-mod dan algoritma pembatalan bunyi AI untuk mengurangkan bunyi persekitaran semasa membuat panggilan.

Seperti kebanyakan jam tangan pintar, ia menampilkan sensor pemantauan kesihatan komprehensif yang memantau degupan jantung 24/7, penjejakan spO2 (paras oksigen darah), tekanan dan tidur. 

Watch 3 juga menawarkan lebih 110 aktiviti sukan, mengesyorkan masa pemulihan berdasarkan senaman terkini pengguna dan pengukuran VO2 max untuk kecekapan senaman yang lebih baik.

Ia dilengkapi dengan bateri 340mAh yang boleh bertahan sehingga 7 hari pada kuasa bateri penuh. Terdapat lebih 100 muka jam yang sesuai dengan pilihan orang ramai dan hadir dalam warna hitam dan kelabu.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Exit mobile version