Site icon TechNave BM

realme Watch T1 dilancar: Dilengkapi AMOLED 1.3″, NFC dan bateri 228mAh berharga ~RM455

realme telah melancarkan dua telefon pintar baharu iaitu GT Neo2T dan Q3s di China baru-baru ini. Di samping itu, realme juga mengumumkan jam pintar pertamanya yang diberi nama realme Watch T1.

Watch T1 hadir dengan beberapa ciri seperti panggilan suara melalui Bluetooth 5.0, NFC untuk pembayaran dan storan dalaman 4GB yang membolehkan anda menyimpan sehingga 500 lagu supaya anda dapat mendengar muzik secara langsung di fon telinga atau pembesar suara Bluetooth tanpa memerlukan telefon pintar.

Ciri-ciri Watch T1 yang lain ialah penjejakan tidur, penjejakan aktiviti dengan sokongan 110 mod sukan serta pemantau denyutan jantung, tekanan darah, tahap oksigen dalam darah dan tidur. Watch T1 dilengkapi paparan AMOLED 1.3 inci dengan resolusi 416 x 416 piksel yang dilindungi oleh Gorilla Glass dan menyokong paparan antara muka yang boleh diubah suai serta paparan sentiasa aktif.

Jam pintar ini hadir dengan aplikasi latihan pernafasan, muzik, kawalan kamera dan ramalan cuaca. Ia juga mempunyai GPS dengan sokongan daripada GLONASS, Galileo dan Beidou yang mana anda tidak perlu risau dengan ketepatan data mereka. realme Watch T1 tahan air hingga 50 meter dengan bateri berkapasiti 228mAh yang menawarkan ketahananan sehingga tujuh hari

T1 juga menyokong pengecasan pantas yang mampu mengecas bateri sepenuhnya hanya dalam 35 minit. Watch T1 mempunyai bingkai keluli tahan karat dengan tali yang diperbuat daripada silikon atau kulit bergantung pada versi mana yang anda pilih. Ia tersedia dalam warna hitam, hijau dan Black Mint dengan reka bentuk teks “Dare To Leap” pada bahagian talinya.

realme Watch T1 siap untuk pra-tempahan di China mulai esok dengan harga CNY699 (~RM455) dan penjualan bermula dari 1 November. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version