Red Magic mengumumkan pelancaran telefon gaming terbaharu Red Magic 11S Pro ke pasaran global selepas diperkenalkan terlebih dahulu di China. Peranti dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 Leading Version dengan kelajuan sehingga 4.74GHz dan dipadankan bersama cip tambahan RedCore R4 yang mengendalikan audio, haptic dan kesan visual.
Bagi kawalan suhu, ia menggunakan sistem penyejukan AquaCore generasi baharu yang merangkumi kipas dalaman 24,000 RPM, vapor chamber seluas 13,116 mm² serta sistem penyejukan cecair fluorinated. Sistem aliran penyejukannya boleh dilihat menerusi panel belakang lutsinar peranti.
Telefon ini menggunakan skrin OLED 6.85 inci beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula 144Hz serta kecerahan puncak 1,800 nits. Red Magic masih mengekalkan kamera bawah skrin menggunakan panel BOE X10 untuk menyembunyikan sensor kamera swafoto 16MP tanpa notch atau lubang kamera pada paparan.
Untuk gaming, skrin tersebut menyokong kadar pensampelan sentuhan segera 3,000Hz bersama butang bahu 520Hz pada sisi peranti. Baterinya pula berkapasiti 7,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 80W berwayar dan wayarles serta pengecasan berbalik untuk mengecas peranti lain.
Untuk kamera, Red Magic 11S Pro hadir dengan sensor utama 50MP bersama OIS serta kamera ultra lebar 50MP. Peranti menjalankan Red Magic OS 11.5 berasaskan Android 16 dan turut menyokong beberapa fungsi AI Google Gemini termasuk Circle to Search serta terjemahan masa nyata. Red Magic 11S Pro ditawarkan dalam warna Nightfreeze dan Subzero.
Varian 12/256GB dijual pada harga bermula USD849 (~RM3,374) manakala versi 16/512GB storan pula berharga USD949 (~RM3,772). Sama-sama nantikan pengumuman Red Magic tentang ketersediaannya untuk pasaran Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

