Selepas Redmi 13, Redmi melancarkan sebuah lagi telefon pintar mampu milik yang mempunyai nama serupa iaitu Redmi 13 5G. Selain menyokong rangkaian 5G seperti yang tertera pada namanya, telefon ini mempunyai beberapa spesifikasi baharu berbanding varian 4G sebelumnya.
Redmi 13 5G dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 4 Gen 2 AE (Accelerated Engine), RAM 8GB, storan dalaman 128GB, bateri 5,030mAh dan pengecasan pantas 33W melalui port USB-C.
Redmi menyatakan perbezaan cipset Snapdragon 4 Gen 2 standard dengan Snapdragon 4 Gen 2 AE adalah ia mempunyai kecekapan dan clock speed yang lebih tinggi, dengan kelajuan sehingga 2.3GHz. Daripada segi pengecasan, Redmi mengatakan telefon ini mengambil masa 30 minit untuk mengecas 50%.
Di hadapan, ia mempunyai skrin LCD berukuran 6.79 inci dengan resolusi FullHD+, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 550 nits dan dibina dengan kaca Gorilla Glass 3.
Rekaan luarannya pula menampilkan pengimbas cap jari di bahagian sisi, rating kalis air IP53, pemancar infra-merah (IR blaster), bicu audio 3.5mm dan pilihan warna biru Hawaiian Blue, merah jambu Orchid Pink atau hitam Black Diamond.
Untuk fotografi, ia mempunyai kamera utama 108MP, kamera makro 2MP dan kamera hadapan 13MP.
Buat masa ini, Redmi 13 5G hanya dijual dalam pasaran India pada harga bermula INR13,999 (~RM790) dan setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Redmi

