Xiaomi hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Redmi 15 5G dalam pasaran Malaysia. Ia adalah telefon pintar baharu dalam siri mampu milik yang menumpukan kepada ketahanan bateri, pengalaman visual yang lebih memuaskan dan ciri berasaskan AI. Redmi 15 5G dilengkapi bateri 7,000mAh iaitu kapasiti terbesar yang pernah ditawarkan oleh Xiaomi untuk pasaran global.
Ia menyokong pengecasan pantas 33W serta pengecasan berbalik 18W. Dengan teknologi Smart Charging Engine 2.0 dan Battery Health 4.0, pengguna boleh menjangkakan prestasi bateri yang tahan lama. Malah, pada tahap bateri 1%, peranti masih mampu bertahan sehingga 59 minit untuk panggilan atau 7.5 jam dalam mod sedia.
Paparan peranti menggunakan skrin 6.9 inci FHD+ dengan kadar segar semula sehingga 144Hz dan kadar pensampelan sentuhan 288Hz. Paparan ini turut disahkan oleh TÜV Rheinland untuk ciri Low Blue Light, Flicker-Free dan Circadian Friendly. Daripada segi rekaan, ia hadir dengan kemasan logam, bahagian belakang berlengkung dan penarafan IP64.
Ciri Wet Touch Technology 2.0 turut disertakan untuk membolehkan penggunaan lancar walaupun dengan jari yang basah. Redmi 15 5G dikuasakan oleh cip Snapdragon 6s Gen 3 yang menyokong rangkaian 5G. Ia turut menyokong pengembangan RAM secara maya sehingga 16GB dan storan boleh ditambah melalui kad microSD sehingga 2TB.
Sistem kamera belakang terdiri daripada kamera utama 50MP dengan ciri AI seperti AI Erase, AI Sky dan Dynamic Shots untuk kemudahan penyuntingan pantas. Peranti ini juga menyokong audio berdefinisi tinggi melalui Hi-Res Audio dan Dolby Atmos bersama peningkatan kekuatan bunyi sehingga 200 peratus. Peranti ini dijana oleh Xiaomi HyperOS 2 dengan sokongan ciri pintar seperti Circle to Search, integrasi Google Gemini dan Xiaomi Interconnectivity.
Redmi 15 5G kini tersedia di pasaran Malaysia pada harga RM729 untuk varian 8GB RAM dengan storan dalaman 256GB. Ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Ripple Green, Titan Gray dan Midnight Black dan boleh dibeli melalui kedai rasmi Xiaomi serta laman mi.com. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

