Site icon TechNave BM

REDMI 15C rasmi di Malaysia dengan cip Helio G81 Ultra dan bateri 6000mAh bermula RM429

Xiaomi hari ini melancarkan telefon pintar mampu milik terbaharu dengan REDMI 15C dalam pasaran Malaysia. Model ini hadir dengan rekaan nipis, bateri berkapasiti besar dan prestasi seimbang untuk pengguna harian.

Badannya setebal 7.99mm dengan berat 205 gram dan ditawarkan dalam empat warna iaitu Midnight Black, Mint Green, Moonlight Blue serta Twilight Orange. Ia menggunakan skrin 6.9 inci Dot Drop beresolusi 1600 × 720 dengan kecerahan 500 nits serta pensijilan TÜV Rheinland Low Blue Light, Circadian Friendly dan Flicker Free untuk pengalaman tontonan lebih selesa.

REDMI 15C dilengkapi cipset MediaTek Helio G81 Ultra dengan memori LPDDR4X dan sokongan RAM maya sehingga 16GB, storan eMMC 5.1, slot kad microSD sistem dan operasi Xiaomi HyperOS 2. Bahagian kamera menampilkan kamera utama 50MP AI bersama kamera kedalaman 2MP manakala kamera swafoto pula 8MP dengan rakaman video 1080p pada 30fps.

Bateri berkapasiti 6000mAh menyokong pengecasan pantas 33W yang boleh mencapai 50% dalam kira-kira 31 minit selain fungsi pengecasan terbalik berwayar sehingga 10W. Ciri lain termasuk teknologi Wet Touch 2.0, sistem keselamatan AI Face Unlock dan pengimbas cap jari di bahagian belakang.

Ia turut mengekalkan bicu audio 3.5mm, radio FM, sokongan dwi-SIM, Bluetooth 5.1, Wi-Fi 2.4/5GHz serta penarafan IP64 untuk perlindungan percikan air dan habuk. REDMI 15C mula dijual di Malaysia pada 9 September 2025 dengan harga RM429 untuk varian 6/128GB dan RM529 untuk varian 8/256GB.

Ia boleh didapati di semua kedai rasmi Xiaomi di seluruh negara, laman web mi.com serta kedai rasmi Xiaomi di Shopee dan Lazada. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version