Site icon TechNave BM

Redmi AirDots 2 diumumkan dengan bateri tahan hingga 12 jam berharga ~RM48 di China

Kami pasti pengguna fon tehlingan wayarles sudah mengetahui kewujudan Redmi AirDots terdahulu. Kehadiran Redmi AirDots di pasaran mendapat sambutan kerana penawaran harganya yang mesra poket. Terkini, Xiaomi menampilkan Redmi AirDots 2 dengan harga pendanaan (crowdfunding) hanya 79 Yuan (~RM48) di pasaran China.

Redmi AirDots 2 bakal dilengkapi versi Bluetooth 5.0 yang terkini. Ini bermakna transmisi data dan sambungan adalah lebih baik berbanding model sebelumnya. Kelancaran muzik dan bunyi juga lebih baik, disertai dengan unit bunyi 7.2mm.

Redmi AirDots 2 juga memiliki ciri teknologi pengurangan bunyi bising DSP untuk kejelasan suara anda ketika membuat panggilan. Dengan berat hanya 4.1g dan tiga saiz berlainan (S,M,L), anda boleh memilih fon telinga yang bersesuaian dengan saiz telinga anda. Ketahanan baterinya pula dilaporkan bertahan sehingga 12 jam bersama bekas pengecasannya.

Untuk pengetahuan anda, harga pendanaan adalah tidak sama dengan harga pasaran. Harga pasaran Redmi AirDots 2 yang dipaparkan adalah 99 Yuan (~RM60).

Setakat ini, kami masih ketiadaan maklumat mengenai Redmi AirDots 2 di pasaran Malaysia. Adakah anda pengguna Redmi AirDots yang terdahulu? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: mydrivers

Exit mobile version