Site icon TechNave BM

Redmi akan lancarkan Watch 3, Band 2 dan Buds 4 Lite pada 27 Disember 2022

Redmi bakal menganjurkan sebuah acara pelancaran utama pada 27 Disember 2022 di China, di mana mereka bakal melancarkan siri telefon pintar Redmi K60 dan Redmi Note 12 Pro Speed Edition. Kini mereka turut mengesahkan bahawa beberapa aksesori akan turut dilancar iaitu Redmi Watch 3, Redmi Band 2 dan Redmi Buds 4 Lite.

Dalam sebuah gambar di Weibo, Xiaomi berkongsi gambar untuk tiga peranti tersebut yang akan ditawarkan dalam warna hijau, oren dan putih.

Redmi berkongsi beberapa butiran ringkas untuk Watch 3, di mana jika ia dibandingkan dengan jam tangan sebelumnya, ia akan mempunyai saiz skrin yang lebih besar sebanyak 14.8 peratus, lebih jelas sebanyak 1.3 kali, kecerahan 600 nits dan ketumpatan piksel sebanyak 341 piksel per inci (ppi).

Untuk Redmi Band 2 pula, ia bakal mempunyai skrin berukuran 1.47 inci yang lebih besar sebanyak 76 peratus berbanding generasi sebelumnya, namun ketebalannya masih senipis 9.99mm. Sementara itu, Redmi Buds 4 akan mempunyai berat 3.9 gram untuk sebelah fon telinga dan bakal ditawarkan dalam warna hitam, oren, putih dan hijau.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan mana-mana peranti ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version