Redmi telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan siri telefon pintar andalan Redmi K70 pada hari Rabu, 29 November di China. Nampaknya mereka akan turut melancarkan beberapa produk tambahan dalam acara yang sama iaitu komputer riba Redmi Book 16 (2024), jam tangan pintar Redmi Watch 4 dan fon telinga wayarles Redmi Buds 5 Pro.
Perkara tersebut diumumkan melalui platform media sosial Weibo dan reka bentuk untuk setiap produk itu turut ditunjukkan. Untuk Redmi Book 16 (2024), Redmi mengesahkan bahawa ia akan dilengkapi pengecasan pantas 47W dan prestasi tahap andalan (flagship), manakala rekaannya pula menunjukkan skrin dengan nisbah aspek 16:10 manakala port I/O terdiri daripada tiga port USB-A, satu port USB-C, bicu audio 3.5mm dan port HDMI.
Redmi Watch 4 pula mempunyai dua pilihan warna untuk badannya iaitu perak atau hitam, manakala skrinnya mempunyai panel AMOLED berukuran 1.97 inci. Seperti jam tangan pintar lain, tali jamnya boleh ditukar dan posternya menunjukkan lima corak yang dibuat dengan pelbagai material.
Sementara itu, Redmi Buds 5 Pro pula ditawarkan dalam warna putih, biru muda dan hitam. Ia dilengkapi fungsi pembatalan hingar aktif sehingga 52db dalam julat sehingga 4kHz untuk meliputi lebih banyak gelombang audio hingar. Redmi tidak berkongsi maklumat mengenai spesifikasi fon telinga ini, jadi sama-sama kita nantikan pelancarannya pada hari Rabu ini.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan mana-mana produk ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Weibo

