Site icon TechNave BM

Redmi Buds 3 Lite dilancar di Malaysia: Bluetooth 5.2, IP54 dan bateri tahan 18 jam berharga RM99

Selain daripada siri Redmi Note 11, Xiaomi turut melancarkan TWS terbaru mereka iaitu Xiaomi Buds 3 Lite. Fon telinga yang ringan ini menampilkan reka bentuk ergonomik yang memberikan keselesaan dan selamat di telinga anda walaupun semasa bersenam. Ketahanan baterinya sehingga 5 jam dalam sekali cas serta sehingga 18 jam dengan sarungnya.

Nikmati panggilan yang lancar dan jelas dengan teknologi anti-gangguan yang berkesan. Redmi Buds 3 Lite menggunakan algoritma pengurangan hingar untuk mengenal pasti dan mengekstrak suara manusia serta mengurangkan bunyi latar belakang memastikan kejelasan untuk panggilan.

Dengan ciri Bluetooth versi 5.2, Redmi Buds 3 Lite membawakan keupayaan anti-gangguan yang dipertingkatkan dan sambungan yang lebih stabil untuk audio dalam panggilan yang lancar. Selain itu, mod kependaman (latency) rendah terbina untuk sesi gaming menawarkan pengalaman yang mengasyikkan dengan pengeluaran audio yang tepat.

Fon telinga ini juga mempunyai ciri sentuhan untuk mengawal. Sebagai contoh, sentuh dua kali, tahan atau gunakan salah satu daripada operasi sentuhan lain untuk bertukar antara mod. Fon telinga ini kalis habuk dan air IP54.

Redmi Buds 3 Lite hadir dalam dua warna klasik iaitu hitam dan putih serta sarung pengecasnya berbentuk bujur. Redmi Buds 3 Lite akan tersedia untuk pembelian tidak lama lagi di Malaysia pada harga RM 99.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Exit mobile version