Telefon pintar Redmi yang semakin galak menempah nama dalam industri telefon pintar kini bakal menambah ahli baharu. Sumber melaporkan Redmi bakal mengumumkan Redmi K30 5G Speed Edition di China pada 11 Mei ini.
Setakat ini, maklumat mengenai Redmi K30 5G Speed Edition masih lagi kering kontang. Namun, melalui pendedahan posternya, anda mungkin dapat menjangkakan beberapa spesifikasi yang menonjol termasuklah paparan skrin berlubang, dihuni oleh dua kamera selfie. Penyenaraian peranti di laman kedai gajet dalam talian di China turut mendedahkan spesifikasi peranti seperti kamera utama 64MP + 8MP (ultra lebar) + 5MP (makro).
Apa yang menariknya, penyenaraian peranti tersebut mendedahkan Redmi K30 edisi khas ini lengkap dengan RAM 6GB + ROM 128GB dan dijana oleh cipset Snapdragon 768G (cipset yang tidak dilancarkan). Kami juga tidak pasti sama ada laman web tersebut melakukan kesilapan menaip atau ia sememangnya benar.
Bersama pelancaran Redmi K30 5G Speed Edition, khabar angin turut menjangkakan kehadiran peranti 5G yang paling murah, Redmi K30i 5G. Apa pun, sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya. Ikuti liputan pelancaran melalui Rakan Teknologi Utama Malaysia dan kekal bersama kami.
Sumber: GSMArena

