Site icon TechNave BM

Redmi K40 mungkin tidak dijual bersama pengecas

Naib Presiden Xiaomi Group Lu Weibing telah berkongsi sebuah gambar yang menunjukkan kotak untuk telefon pintar andalan Redmi K40 yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Beliau bertanya kepada para pengikutnya di Weibo untuk memilih sama ada mahukan kotak yang tebal atau nipis.

Ini mungkin merujuk kepada kemungkinan bahawa Redmi K40 tidak akan dipasarkan bersama pengecas di dalam kotak, membuatkan kotaknya lebih nipis daripada telefon-telefon Redmi sebelum ini. Walau bagaimanapun, keputusan tersebut masih belum dimuktamadkan dan Lu Weibing mungkin ingin meninjau tahap penerimaan para pelanggan berkenaan isu ini.

Majoriti netizen di Weibo mengatakan mereka masih menginginkan kotak yang tebal bersama pengecas dan fon telinga di dalam kotak. Sebelum ini, telefon pintar andalan Mi 11 menawarkan penyelesaian menarik terhadap isu ini, di mana kotaknya tidak mempunyai pengecas namun pelanggan boleh memilih sama ada mereka masih ingin mendapatkan pengecas bersama telefon itu tanpa sebarang caj tambahan.

Redmi K40 dijangka akan dilengkapi cipset Snapdragon 888, empat kamera 108MP dan dijual pada harga bermula 2,299 Yuan (~RM1,433).

Trend pengecas yang tidak disertakan bersama telefon ini bermula apabila Apple memutuskan untuk tidak lagi menyertakan pengecas bersama siri iPhone 12. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version