Site icon TechNave BM

Redmi Note 10 diacah, hadir dengan cipset Snapdragon, IP52 dan kaca Gorilla Glass

Beberapa hari lepas, kami telah melaporkan mengenai tarikh rasmi pelancaran telefon siri Redmi Note 10 secara global iaitu pada 4 Mac ini. Kini, Xiaomi India telah mengacah beberapa poster yang menunjukkan spesifikasi ringkas peranti ini.

Berdasarkan poster tersebut, Redmi Note 10 dilihat hadir dengan reka bentuk baru yang lebih ringan dan lebih nipis dari generasi sebelumnya. Ia juga dilihat menggunakan punch-hole pada skrinnya serta kaca perlindungan Gorilla Glass bersama ciri kalis air IP52.

Gambar sisi telefon ini menunjukkan ia dilengkapi sensor cap jari sisi dengan modul kamera yang berbonggol. Panel belakangnya pula dilihat melengkung manakala skrinnya kekal rata seperti sebelum ini.

Tambahan lagi, siri telefon ini juga bakal hadir dengan ciri Hi-Res Audio dan mempunyai saiz bateri yang lebih besar dengan pengecasan yang lebih laju.

Siri Redmi Note 10 ini juga bakal hadir dengan cipset Snapdragon (mungkin Snapdragon 750G) bersama maklum balas haptik yang lebih baik. Sumber sebelum ini memberitahu peranti ini mungkin akan dilengkapi skrin dengan kadar segar semula yang tinggi serta kamera utama 108MP.

Redmi Note 10 dikhabarkan akan hadir dengan pilihan warna putih, hijau dan kelabu, manakala versi Pro dengan warna gangsa, biru dan kelabu.

Adakah anda menantikan siri Redmi Note 10 ini? Komen di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : 1 | 2

Exit mobile version