Site icon TechNave BM

Redmi Note 10 JE dilancar, telefon Xiaomi pertama dilengkapi Snapdragon 480 5G

Xiaomi telah melancarkan varian terbaru dalam siri Redmi Note 10 iaitu Redmi Note 10 Japan Edition (JE) yang merupakan telefon Xiaomi pertama dilengkapi cipset Snapdragon 480 5G. Cipset ini menawarkan prestasi terendah dalam siri Redmi Note 10 setakat ini namun ia masih menyokong rangkaian 5G.

Selain Snapdragon 480, Redmi Note 10 JE adalah varian pertama dalam siri Redmi Note 10 yang mempunyai rating kalis air dan debu IP 68. Ia turut dilengkapi beberapa fungsi khas untuk pasaran Jepun, seperti sokongan untuk sistem pembayaran mudah alih FeliCa dan Osaifu-Keitai.

Selain daripada cipset dan fungsi di atas, Redmi Note 10 JE mempunyai spesifikasi yang serupa dengan Redmi Note 10. Ia dilengkapi skrin LCD 90Hz berukuran 6.5 inci, RAM 4GB, storan 64GB yang boleh dibesarkan dengan microSD, perisian MIUI 12.5, bateri 4,800mAh dan pengecasan 18W.

Untuk fotografi, ia dilengkapi kamera utama 48MP, kamera makro 2MP, sensor kedalaman 2MP dan kamera swafoto 8MP. Ia turut mempunyai port USB-C serta bicu audio 3.5mm dengan pengiktirafan Hi-Res Audio.

Redmi Note 10 JE akan mula dijual di Jepun bermula 13 Ogos. Setakat ini masih tiada maklumat jika Xiaomi akan memperkenalkan varian Redmi Note 10 ini ke dalam pasaran antarabangsa.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Xiaomi Jepun

Exit mobile version