Site icon TechNave BM

Redmi Note 10 mungkin jadi telefon pertama Redmi dengan kamera 108MP!

Beberapa hari yang lepas, pengurus besar Xiaomi telah mengacah akan pelancaran telefon baru Redmi di China tidak lama lagi. Dalam pelancaran ini, Xiaomi dijangka akan mengumumkan sebuah lagi telefon dari siri Redmi K30 dan juga telefon siri Redmi Note 10.

Sebelum ini terdapat ura-ura yang menyatkan bahawa Redmi Note 10 ini adalah penjenamaan semula Mi 10T Lite. Kini, sumber terbaru menyatakan bahawa telefon ini mungkin sedikit berbeza dengan konfigurasi kamera yang berlainan.

Sumber menyatakan bahawa peranti dengan nombor model ‘J17’ yang merujuk kepada Redmi Note 10 bakal dilengkapi dengan kamera utama 108MP. Selain itu, ia juga bakal dilengkapi dengan kamera telefoto serta lensa makro. Spesifikasi kamera 108MP pada Redmi Note 10 ini berbeza dengan Mi 10T Lite yang menggunakan kamera 64MP, kamera ultra lebar dengan lensa makro.

Untuk spesifikasi yang lain, ia dijangka akan hadir dengan skrin LCD 120Hz, cipset Snapdragon 750G, bateri 4,820mAh dengan pengecasan pantas 33W dan sistem operasi MIUI 12.

Adakah anda teruja dengan telefon siri Redmi Note 10 ini? Kongsikan dengan kami di Facebook dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : Gizmochina

Exit mobile version