Site icon TechNave BM

Redmi Note 12 Pro Speed Edition dilancar: SD 778G, cas pantas 67W, kamera 108MP berharga ~RM1,080

Selepas memperkenalkan siri Redmi Note 12 pada Oktober lalu, Redmi telah melancarkan varian terbaru untuk siri tersebut di China iaitu Redmi Note 12 Pro Speed Edition. Varian terbaru ini mempunyai spesifikasi dan rekaan yang serupa dengan Redmi Note 12 Pro kecuali daripada segi cipset, kamera dan sistem operasi.

Note 12 Pro Speed Edition ini menampilkan cipset Qualcomm Snapdragon 778G yang lebih pantas daripada cipset MediaTek Dimensity 1080 dalam Note 12 Pro. Ini juga bermaksud Speed Edition akan menyokong rangkaian 5G.

Untuk kamera pula, Note 12 Pro Speed Edition dilengkapi kamera utama 108MP dengan sensor Samsung ISOCELL HM2, lebih jelas daripada kamera 50MP dalam Note 12 Pro asal. Selain kamera 108MP, Speed Edition ini turut mempunyai kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP serta kamera swafoto 16MP.

Rekaan dan pilihan warna Redmi Note 12 Pro Speed Edition

Note 12 Pro Speed Edition juga didatangkan dengan sistem operasi Android 13 dengan antara muka MIUI 14, lebih canggih daripada Note 12 Pro asal yang didatangkan dengan MIUI 13 berdasarkan Android 12. Sungguh pun begitu, Note 12 Pro dijangka akan menerima kemas kini kepada Android 13 dalam masa terdekat.

Selain daripada tiga aspek ini, tidak banyak perbezaan di antara Note 12 Pro Speed Edition dengan Note 12 Pro. Ia dilengkapi skrin AMOLED berukuran 6.67 inci dengan resolusi FullHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Varian memorinya pula didatangkan dalam tiga pilihan iaitu 6GB+128GB, 8GB+256GB dan 12GB+256GB.

Baterinya pula berkapasiti 5,000mAh dan menyokong kadar pengecasan pantas 67W. Telefon ini turut dilengkapi pembesar suara stereo Hi-Res Audio, rating kalis air IP53, motor getaran paksi X, pengimbas cap jari sisi, bicu audio 3.5mm dan port USB-C.

Berikut adalah senarai harga Redmi Note 12 Pro Speed Edition di China:

6GB+128GB: CNY1,699 (~RM1,080)
8GB+256GB: CNY1,799 (~RM1,150)
12GB+256GB: CNY1,999 (~RM1,270)

Setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Xiaomi China

Exit mobile version