Site icon TechNave BM

Redmi Note 12R mungkin akan jadi telefon pertama dengan cipset Snapdragon 4 Gen 2

Sejak awal tahun ini, Redmi telah melancarkan banyak varian untuk siri telefon pintar kelas pertengahan Redmi Note 12. Setakat ini sahaja di Malaysia, ia sudah ditawarkan dalam lima varian iaitu Redmi Note 12, Redmi Note 12 5G, Redmi Note 12 Pro, Redmi Note 12 Pro 5G dan Redmi Note 12 Pro+ 5G.

Kini Redmi dikhabar bakal melancarkan sebuah lagi varian di China iaitu Redmi Note 12R, di mana ia mungkin bakal menjadi telefon pertama yang dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 4 Gen 2.

Telefon ini belum lagi dilancar secara rasmi, namun ia sudah disenaraikan dalam laman web China Telecom dengan nombor model 23076RA4BC dan cipset dengan nombor SM4450 yang dijangka adalah Snapdragon 4 Gen 2. Cipset terbaru ini akan dibina dengan nod proses 4nm oleh Samsung, lebih kecil daripada 6nm pada Snapdragon 4 Gen 1. Dengan nod proses yang lebih kecil, ia akan menawarkan prestasi yang lebih pantas daripada generasi sebelumnya.

Antara spesifikasi yang disenaraikan oleh China Telecom adalah RAM 8GB, storan 256GB yang boleh dibesarkan dengan kad microSD, skrin berukuran 6.79 inci dengan resolusi FullHD+ dan bateri 5,000mAh.

Kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP dan kamera kedua 2MP. Daripada segi luaran, ia mempunyai ukuran 168.6 x 76.3 x 8.17mm, berat 199 gram dan menawarkan port USB-C dan audio 3.5mm.

Redmi Note 12R akan dilancar secara rasmi di China pada 30 Jun 2023 dan dijual pada harga bermula CNY1,100 (~RM712). Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: MySmartPrice

Exit mobile version