Redmi Note 14 Pro 4G dijangka akan dilancarkan secara global tidak lama lagi selepas muncul dalam pelbagai halaman pensijilan. Model ini telah dikesan dalam pangkalan data IMEI dan pensijilan FCC terbaru mendedahkan beberapa spesifikasi peranti tersebut. Model yang dikenali sebagai 24116RACCG ini adalah varian LTE yang tidak menyokong 5G.
Redmi Note 14 Pro 4G akan dilengkapi dengan paparan OLED FHD+ 6.67 inci dengan resolusi 1080 x 2400. Peranti ini akan hadir dengan pilihan RAM 8GB atau 12GB serta storan 128GB, 256GB dan 512GB. Selain itu, peranti ini bakal membawa bateri besar 5,500mAh. Ujian FCC juga menunjukkan peranti ini menggunakan sistem operasi HyperOS 1.0 yang mungkin akan diprapasang pada peranti tersebut ketika dilancarkan.
Laporan FCC turut menyebut bahawa spesifikasi lain peranti ini mungkin sama dengan versi terdahulu iaitu Redmi Note 13 Pro 4G kecuali spesifikasi yang telah disebutkan. Walau bagaimanapun, laporan lain mendedahkan bahawa peranti ini akan menggunakan cipset MediaTek. Secara logiknya, peranti ini sepatutnya dilengkapi dengan pemproses yang lebih baik berbanding pendahulunya.
Kongsi pendapat anda di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Ytechb

