Site icon TechNave BM

Redmi Note 14 Pro dilancar: Kamera 50MP, OLED 6.67″, cas pantas 90W bermula ~RM830

Selain melancarkan Redmi Note 14 5G standard, Xiaomi turut memperkenalkan dua lagi varian yang lebih canggih iaitu Redmi Note 14 Pro 5G dan Redmi Note 14 Pro+ 5G. Kedua-duanya dilengkapi ciri yang lebih canggih daripada segi kamera, cipset dan bateri.

Redmi Note 14 Pro+

Telefon ini mempunyai skrin OLED berukuran 6.67 inci dengan resolusi 1220×2712, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 3,000 nits, gamut warna DCI-P3 100% serta sokongan Dolby Vision dan HDR10+. Ia dibuat daripada kaca Gorilla Glass Victus 2 dengan seni bina Redmi King Kong untuk ketahanan yang tinggi.

Ini merupakan telefon Redmi pertama yang mempunyai kaca Gorilla Glass di hadapan dan belakang. Ia mempunyai pengiktirafan TÜV SÜD lima bintang untuk ketahanan yang tinggi, di mana ia dijatuhkan pada lantai kaca daripada ketinggian 1.8m. Ia turut mempunyai rating kalis air IP68 yang boleh ditenggelami air sedalam 2 meter selama 24 jam.

Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset Qualcomm Snapdragon 7s Gen 3, RAM 12GB atau 12GB, storan dalaman 256GB atau 512GB, bateri 6,200mAh dan pengecasan pantas 90W.

Kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sensor Hunter 800, kamera telefoto dengan zum optikal 2.5x dan kamera ultra-lebar 8MP, manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 20MP.

Pada waktu ini, Redmi Note 14 Pro+ hanya akan dijual di China pada harga bermula CNY1,900 (~RM1,120) untuk varian 12GB+256GB.

Redmi Note 14 Pro

Redmi Note 14 Pro mempunyai kebanyakan ciri-ciri yang sama dengan Note 14 Pro+, namun dengan beberapa perbezaan kecil. Sebagai contoh, perlindungan Gorilla Glass hanya terdapat pada bahagian hadapan sahaja.

Selain itu, baterinya berkapasiti 5,500mAh dan menyokong pengecasan pantas 45W manakala cipsetnya pula adalah MediaTek Dimensity 7300-Ultra. RAM pula ditawarkan dalam kapasiti lebih rendah iaitu 8GB dan ke atas, manakala storan pula bermula 128GB dan ke atas.

Kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sensor Sony LYT-600, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP, manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 20MP.

Ciri-ciri lain seperti skrin dan pilihan warna adalah serupa dengan Note 14 Pro+.

Pada waktu ini, Redmi Note 14 Pro hanya akan dijual di China pada harga bermula CNY1,400 (~RM830) untuk varian 8GB+128GB.

Setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaan kedua-dua peranti untuk pasaran Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Xiaomi China (1,2)

Exit mobile version