Site icon TechNave BM

Redmi Pad dilancar di Malaysia: Skrin 10.6″ 2K 90Hz, Dolby Atmos dan bateri 8,000mAh bermula RM899

Xiaomi Malaysia telah mengadakan acara pelancaran produk baharu malam tadi. Selain membawakan siri perdana Xiaomi 12T, ia turut melancarkan tablet pertama Redmi iaitu Redmi Pad. Tablet baharu ini dilengkapi dengan skrin 2K 10.6 inci, pemproses MTK Helio 99, dan mempunyai tiga pilihan warna.

Redmi Pad hadir dengan tiga pilihan warna iaitu kelabu grafit, perak dan hijau pudina. Ia menggunakan reka bentuk standard bagi sebuah tablet dan semua bahannya menggunakan logam. Sudut kiri atas bahagian belakang mempunyai kamera dan LOGO Redmi berada di sebelah kiri bawah.

Bahagian hadapan pula, Redmi Pad menggunakan paparan LCD 2K 10.61 inci dengan kadar penyegaran 90Hz, gamut warna NTSC sebanyak 70%, perlindungan mata SGS terbina dalam, pensijilan TUV Rheinland dan kecerahan 400nits. Redmi Pad dilengkapi dengan cipset MediaTek Helio G99 6nm dengan RAM LPDDR4X sehingga 6GB, storan UFS 2.1 sehingga 128GB dan boleh dikembangkan kepada 1TB melalui slot kad mikroSD.

Redmi Pad menggunakan MIUI 13 untuk Pad berdasarkan sistem Android 12 dan Redmi berjanji untuk menyediakan 2 versi utama kemas kini Android dan MIUI serta 3 tahun kemas kini keselamatan. Tablet ini dilengkapi dengan empat pembesar suara yang menyokong Dolby Atmos dan mempunyai bateri terbina dalam 8,000mAh menyokong pengecasan pantas 18W.

Menariknya, palam pengecas 22.5W disertakan di dalam kotak. Bahagian belakang Redmi Pad dilengkapi dengan kamera utama belakang 8MP yang boleh merakam video beresolusi FHD dan kamera swafoto 8MP. Tablet ii berukuran 250.5 x 158.1 x 7.1 mm dan berat 465 gram. Kesambungan menyokong Bluetooth 5.3, Wi-Fi dwijalur dan port USB Jenis-C.

Spesifikasi lengkap Redmi Pad:

Redmi Pad menawarkan tiga pilihan warna dan tiga varian storan iaitu 3GB + 64GB berharga RM899, 4GB + 128GB berharga RM999 dan 6GB + 128GB berharga RM1099. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version