Site icon TechNave BM

Reka bentuk iPad mini baru muncul dalam talian, seakan iPad Air 2020

iPad mini dilihat sebagai sebuah peranti yang lapuk jika dibandingkan dengan iPad Air dan iPad Pro baru. Sehingga kini, terdapat banyak sumber yang menyatakan bahawa iPad mini akan mendapat model yang baru tidak lama lagi. Terbaru, rupa paras iPad mini baru telah muncul dalam talian dan ia dilihat seperti iPad Air yang kecil.

Perbezaan ketara model baru ini adalah kehilangan butang rumah. Kini, iPad mini baru mempunyai bezel skrin yang lebih nipis dan saiz skrin yang lebih besar berbanding generasi sebelum ini.

Peranti ini dikhabarkan berukuran 206.3 x 137.8 x 6.1mm. Ini menunjukkan bahawa ketebalannya masih lagi kekal sama. Namun, kali ini bahagian sisi tablet adalah rata, sama seperti iPad Air.

Selain dari itu, sumber juga menyatakan bahawa peranti ini akan hadir dengan sensor cap jari pada butang kuasanya. Pembesar suara tablet ini juga telah ditambah baik dan ia kini menggunakan port USB-C.

iPad mini generasi ke-7 ini dijangka akan menggunakan cipset Apple A14 dan menyokong Apple Pencil. Ia hadir dengan tiga pilihan warna iaitu perak, hitam dan emas dan mungkin akan dilancarkan pada hujung tahun ini.

Adakah anda berminat dengan tablet baru dari Apple ini? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : GSMArena

Exit mobile version