Nothing akan melancarkan Ear (3) pada 18 September sebagai fon telinga wayarles andalan terbarunya. Reka bentuknya sudah pun diperlihatkan melalui imej yang didedahkan dengan penampilan penutup lutsinar pada bekas pengecas bersama batang fon telinga membawa identiti Nothing.
Dalam bekas, terdapat butang pairing di bahagian bawah kanan, manakala di luar terdapat butang “TALK” misteri yang menimbulkan spekulasi sama ada ia mungkin berfungsi seperti walkie-talkie bersama fon telinga.
Menariknya, bekas Ear (3) diperbuat daripada aluminium kitar semula 100% beranod, memberi ketahanan lebih baik dan kemasan premium. Nothing juga berjaya menghasilkan fon telinga ultra-nipis dengan meminimumkan ruang antara komponen, meratakan antena logam kepada ketebalan hanya 0.35mm, had industri semasa.
Menurut Pengarah Rekaan Adam Bates, Ear (3) membawa bahasa rekaan baharu dengan fokus kepada kejuruteraan dan pengalaman pengguna, menghasilkan produk yang bukan sahaja segar, tetapi masih kekal dengan identiti Nothing.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: GSMArena

