Site icon TechNave BM

Reka bentuk Samsung Galaxy A72 bocor dalam talian, acuan sarung tunjuk butiran lebih tepat

Selepas kejayaan telefon Samsung Galaxy A71 yang hadir dengan sokongan 5G beberapa bulan lalu, Samsung dijangka untuk melancarkan generasi barunya, Galaxy A72 dalam masa yang terdekat.

Sebelum ini, imej janaan komputer Galaxy A72 telah muncul di dalam talian. Kini, acuan sarung (case mold) aluminium peranti ini pula tertiris dalam talian dan ia menunjukkan reka bentuk yang lebih tepat.

Berdasarkan gambar acuan sarung Galaxy A72 ini, ia bakal hadir dengan modul kamera yang mempunyai lima potongan. Peranti ini dijangka akan dilengkapi empat kamera sahaja pada bahagian belakang. Jadi, lubang kelima yang ada pada modulnya mungkin digunakan untuk lampu kilat LED atau sensor.

Acuan sarung Galaxy A72 juga menunjukkan bahawa ia akan hadir dengan port USB-C untuk pengecasan dan masih kekal bicu audio 3.5mm. Manakala untuk butang kelantangan suara (volume) dan butang kuasa, ia terletak pada bahagian kanan telefon.

Imej janaan komputer Galaxy A72

Untuk spesifikasi lain, Galaxy A72 dijangka hadir dengan skrin 6.7 inci AMOLED dengan sensor cap jari dalam skrin. Ia juga dikhabarkan untuk menggunakan cipset Snapdragon 720G bersama RAM 8GB dan perisian Android 11.

Peranti ini bakal ditawarkan dengan 4 pilihan warna (hitam, biru, putih, ungu) dan ia mungkin akan dijual pada tanda harga serendah €450 (~RM2,222).

Ia dikhabarkan akan memasuki pasaran pada sekitar bulan Mac ini.

Nantikan berita lanjut mengenai peranti ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi utama.

Sumber : GSMArena

Exit mobile version