Site icon TechNave BM

Rekaan Android 12 dibocorkan! Pilihan widget baru, isyarat guna mikrofon dan kamera

Ramai pengguna Android yang masih menggunakan sistem operasi Android 10 berbanding Android 11. Walaupun begitu, sumber telah mula mendedahkan pandangan pertama rekaan antara muka Android 12. Pendedahan ini didakwa hadir daripada draf dokumen oleh Google untuk meringkaskan perubahan yang ada dalam Android 12.

Salah satu perubahan baharu adalah antara muka panel notifikasi baharu. Melalui gambar, anda dapat melihat latar belakang panel notifikasi yang berwarna kuning air muda (mungkin bergantung kepada warna temn ada) dan pemisahan di antara notifikasi perbualan dengan notifikasi lain. Ikon pada Quick Settings juga kelihatan lebih besar (hanya 4 ikon dalam satu baris) dan posisi tarikh, masa yang ditukar.

Lebih menarik, anda boleh melihat penunjuk atau isyarat jika anda menggunakan mikrofon atau kamera di bahagian atas paparan. Anda juga boleh lihat paparan amaran isyarat penggunaan jika anda sedang menggunakan mikrofon atau kamera. Jika anda klik pada amaran isyarat tersebut, anda dapat melihat aplikasi manakah yang menggunakan mikrofon atau kamera.

Sebagai tambahan, terdapat juga pilihan widget baru seperti “Conversation” yang menggabungkan aplikasi untuk perbualan. Widget ini memberi akses mudah untuk anda menetapkan ia kepada individu tertentu yang anda sering hubungi.

Perlu diingatkan bahawa semua perubahan ini dinyatakan dalam dokumen yang didakwa adalah draf perubahan Android 12 dari Google. Kami tidak tahu sama ada dokumen ini sahih atau tidak. Namun, ia boleh menjadi rujukan yang baik untuk kita membayangkan apakah perubahan yang mungkin ada pada Android 12.

Semak berita lepas mengenai Android 12 disini. Apakah pandangan anda mengenai perubahan ini? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: XDA Developers

Exit mobile version