Site icon TechNave BM

Rekaan ASUS ROG Phone 6 tertiris, tampilkan skrin belakang yang lebih besar

Kita sudah pun memasuki tahun 2022 dan pelbagai syarikat telefon pintar pastinya sedang mengusahakan model telefon pintar andalan terbaru untuk tahun ini. Untuk para peminat telefon gaming, mereka pasti sedang menantikan ASUS ROG Phone 6 yang mungkin dilancar kelak.

Kini sebuah imej janaan 3D untuk ROG Phone 6 telah pun tertiris dan ia menampilkan rekaan belakang yang serupa dengan siri ROG Phone sebelum ini. Ia mempunyai beberapa garisan dan teks yang menghiasi permukaan belakangnya serta sebuah skrin kecil yang diperkenalkan dalam siri ROG Phone 5.

Berdasarkan imej ini, skrin belakang pada ROG Phone 6 nampaknya lebih besar berbanding ROG Phone 5. Selain itu, skrin tersebut diletakkan secara menegak dan bukannya senget seperti dalam ROG Phone 5.

Susunan lensanya pula serupa dengan ROG Phone 5 yang disusun secara mendatar. Setakat ini masih tiada maklumat rasmi tentang pelancaran ROG Phone 6. Sebagai rujukan, ROG Phone 5 telah diperkenalkan pada bulan Mac 2021, jadi kita mungkin boleh jangkakan waktu pelancaran yang serupa pada tahun ini.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan ASUS ROG Phone 6 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Equal Leaks

Exit mobile version