Site icon TechNave BM

Rekaan ASUS Zenfone 10 tertiris, tidak banyak beza dengan Zenfone 9

ASUS bakal melancarkan telefon pintar andalan ASUS Zenfone 10 pada 29 Jun 2023, namun syarikat elektronik Taiwan itu masih belum mendedahkan maklumat mengenai rekaan atau spesifikasi peranti tersebut. Kini pengkhabar berita teknologi popular Evan Blass telah berkongsi beberapa gambar yang menunjukkan rekaan luaran Zenfone 10 secara penuh.

Gambar tersebut menunjukkan Zenfone 10 yang akan didatangkan dalam lima warna iaitu hitam, biru, hijau, merah dan putih. Jika dibandingkan dengan telefon Zenfone 9 yang dilancar pada tahun lepas, Zenfone 10 tidak mempunyai banyak perbezaan.

Dengan skrin bersaiz 5.9 inci, ia masih lagi mempunyai bentuk yang lebih kompak berbanding telefon andalan lain, manakala di belakang ia mempunyai dua bulatan berwana hitam untuk menempatkan kamera. Bahagian sisinya pula mempunyai permukaan yang rata seperti dalam siri iPhone 14.

ASUS sudah pun mengesahkan bahawa telefon ini akan dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2. Spesifikasi lain yang dikhabarkan termasuklah skrin AMOLED 120Hz, RAM 16GB, storan dalaman 256GB, bateri 5,000mAh dan pengecasan pantas 67W. Harganya pula dijangka bermula daripada USD749 (~RM3,450).

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Zenfone 10 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Evan Blass

Exit mobile version