Site icon TechNave BM

Rekaan dan spesifikasi Samsung Galaxy A25 tertiris, tidak banyak beza dengan Galaxy A24

Samsung dikhabar bakal melancarkan telefon pintar mampu milik Samsung Galaxy A25 dalam masa terdekat dan kini rekaan serta spesifikasinya telah tertiris dalam internet. Menurut sumber, Galaxy A25 akan ditawarkan dalam tiga warna iaitu putih, hitam dan kuning.

Ia bakal mempunyai bucu yang melengkung manakala di belakang pula ia bakal mempunyai permukaan rata dengan tiga bonggol untuk menempatkan tiga lensa kamera. Rekaan ini tidak banyak berbeza dengan Galaxy A24 kecuali daripada segi pilihan warna.

Di hadapan, ia mempunyai skrin Super AMOLED Infinity-U berukuran 6.5 inci dengan resolusi Full HD+, kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 1,000 nits. Jika benar, ini merupakan skrin yang sangat bagus untuk telefon mampu milik, dengan kadar 120Hz yang lebih tinggi berbanding 90Hz pada Galaxy A24.

Bonggol kamera pada Galaxy A24

Spesifikasi dalamannya pula mungkin terdiri daripada cipset Exynos 1280, RAM 8GB dan bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W. Kameranya teridiri daripada kamera utama 50MP dengan penstabilan imej optikal (OIS), kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP, manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 13MP. Spesifikasi ini tidak jauh bezanya dengan Galaxy A24 sebelum ini.

Daripada segi perisian, Galaxy A25 mungkin akan dilengkapi fungsi keselamatan siber Samsung Knox. Telefon ini juga akan menerima kemas kini sistem operasi Android selama empat tahun dan kemas kini keselamatan selama lima tahun.

Galaxy A25 dijangka akan dilancar pada awal 2024. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: My Smart Price

Exit mobile version