Site icon TechNave BM

Rekaan dan spesifikasi Samsung Galaxy S23 FE tertiris, tidak banyak beza dengan Galaxy S23 asal

Khabar angin tentang telefon pintar Samsung Galaxy S23 Fan Edition (FE) semakin banyak dilaporkan sejak beberapa minggu lalu. Selepas mendapat pengiktirafan daripada agensi Thailand, kini rekaannya telah tertiris dalam pangkalan data TENAA daripada kerajaan China.

Secara kasar, ia mempunyai reka bentuk yang serupa dengan Samsung Galaxy S23 standard, dengan bucu dan sisi yang melengkung, serta tiga lensa kamera yang tidak mempunyai bonggol kamera besar. Ini tidak mengejutkan kerana sebelum ini, Galaxy S21 FE dan Galaxy S20 FE mempunyai reka bentuk yang serupa dengan versi standard untuk model masing-masing.

TENAA turut menyenaraikan spesifikasi penuh untuk Galaxy S23 FE iaitu skrin AMOLED FullHD+ 6.3 inci, cipset lapan teras dengan kelajuan clock 2.99GHz, bateri 4,370mAh, tri-kamera 50MP+8MP+12MP, kamera swafoto 10MP, pengecasan pantas 25W, RAM 8GB dan storan dalaman 128GB atau 256GB. Cipsetnya masih tidak diketahui secara spesifik.

Setakat ini masih tiada maklumat rasmi atau tarikh pelancaran mengenai Galaxy S23 FE. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version