Site icon TechNave BM

Rekaan iQOO 12 Pro didedah, lengkap dengan logo BMW M Motorsport

iQOO telah mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan siri telefon pintar andalan iQOO 12 pada 7 November 2023 di China dan ia bakal menjadi antara telefon terawal dengan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3. Kini syarikat itu telah menunjukkan rekaan rasmi untuk telefon tersebut melalui laman media sosial Weibo.

Nampaknya, rekaan telefon itu yang tertiris sebelum ini adalah rekaan sebenar yang akan dilancar nanti. Nampaknya kali ini iQOO mengabaikan jalur tiga warna yang sering digunakan dalam telefon-telefon sebelum ini dan menggantikannya dengan logo BMW Motorsport yang kecil sahaja.

Bonggol kameranya berbentuk segi empat sama, agak berbeza daripada segi empat tepat dalam iQOO 11 sebelum ini. Ia juga mempunyai teks yang menyatakan kamera ini boleh mencapai zum digital sehingga 100x.

Selain cipset Snapdragon 8 Gen 3, tidak banyak yang diketahui tentang spesifikasi iQOO 12 Pro. Ia dikhabarkan bakal dilengkapi skrin 2K dengan kadar segar semula 144Hz, bateri 5,100mAh, pengecasan pantas 120W dan pengecasan wayarles 50W.

Kameranya pula mungkin terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera telefoto 64MP dan kamera telefon 50MP. Sebelum ini, iQOO 11 merupakan telefon Snapdragon 8 Gen 2 pertama yang dilancar di Malaysia, jadi iQOO 12 Pro mungkin akan mengulangi trend ini sebagai telefon Snapdragon 8 Gen 3.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version