Site icon TechNave BM

Rekaan kereta elektrik Xiaomi tertiris, mungkin akan bersaing dengan Tesla Model 3

Buat sekian lama, Xiaomi telah mengesahkan bahawa mereka sedang dalam proses membangunkan sebuah kenderaan elektrik (EV) dan mereka berharap boleh bersaing dengan syarikat EV ternama Tesla. Xiaomi masih belum berkongsi rekaan kenderaan tersebut, namun kini beberapa gambarnya telah tertiris.

Gambar tersebut menunjukkan kenderaan elektrik Xiaomi yang masih dalam fasa ujian. Walaupun rekaan luarannya boleh dilihat secara ringkas, ia masih dilitupi kain hitam yang menyembunyikan rekaan keseluruhan kereta tersebut.

Ia dikhabarkan bakal bersaing dengan EV sedan Tesla Model 3 dan akan dijual pada harga bermula CNY260,000 (~RM168,000) sehingga CNY350,000 (~RM225,000). Kenderaan ini bakal mempunyai ruang pemandu yang dilengkapi pemproses Qualcomm 8295 yang bakal diperkenalkan buat kali pertama dalam Jidu ROBO-01.

Untuk varian asas, kenderaan Xiaomi ini dijangka akan mempunyai pek bateri BYD lithium iron phosphate 400V serta pelbagai sensor yang dibina oleh syarikat Jerman, Continental. Sensor ini termasuklah kamera dan lima radar mmWave.

Varian yang lebih tinggi pula bakal dilengkapi bateri 800V dengan teknologi CATL Qilin Battery, di mana ia boleh dicas daripada 0 ke 80% dalam masa 15 minit. Ia turut dilengkapi cipset Orin X oleh NVIDIA dan sensor LiDAR yang dibangunkan oleh Xiaomi.

Kongsi pendapat anda tentang kenderaan ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: CNEV Post

Exit mobile version