Site icon TechNave BM

rekaan realme 11 Pro Series 5G diumum dalam warna Sunrise Beige

Semalam, realme mengesahkan bahawa siri telefon pintar kelas pertengahan realme 11 bakal dilancar pada 10 Mei 2023 dan pada hari ini pula, realme mendedahkan rekaan belakang untuk realme 11 Pro Series 5G.

Untuk model Pro, ia akan ditawarkan dalam dua varian utama iaitu realme 11 Pro+ 5G dan realme 11 Pro 5G. Rekaan telefon ini direka oleh realme Design Studio dan bekas pereka Gucci Prints, Matteo Menotto, untuk memberikan penampilan yang eksklusif.

Ia mempunyai permukaan belakang yang dibuat daripada kulit berwarna laici dan kesan jahitan menegak yang mengelilingi bulatan kamera. Untuk telefon ini, Menotto menyertakan tekstur, cetakan dan unsur rekaan yang selalunya hanya terdapat pada produk-produk mewah.

Permukaan belakang ini dibuat dengan teknik kelim (seam) 3D couture-level dan tekstur anyaman (woven) 3D untuk menghasilkan rasa pegangan yang premium pada tangan.

Warna Sunrise Beige pula diispirasi daripada tempat kelahiran Menotto iaitu Milan, Itali dan melambangkan sinaran cahaya daripada matahari yang menerbit. Selain warna ini, realme 11 Pro Series 5G akan ditawarkan dalam warna Oasis Green dan Astral Black.

Spesifikasinya masih belum disahkan oleh realme, namun ia dikhabarkan bakal dilengkapi skrin AMOLED 120Hz 6.7 inci, cipset Dimensity 7 Series, RAM 16GB, storan 1TB dan pengecasan pantas 100W.

Apakah pendapat anda tentang rekaan telefon ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version