Site icon TechNave BM

Rekaan Redmi K50 Pro tertiris, mungkin mempunyai 3 kamera disusun dalam bentuk tiga segi

Redmi telah pun mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan siri telefon pintar andalan Redmi K50 pada bulan Februari nanti, namun reka bentuknya masih belum diumumkan. Kini terdapat beberapa gambar tertiris di laman web e-dagang Taobao yang menunjukkan reka bentuk Redmi K50.

Gambar tersebut menunjukkan sarung (casing) untuk Redmi K50 di mana ia bakal mempunyai tiga kamera di belakang dan disusun dalam bentuk tiga segi. Selain itu, ia turut mempunyai dwi-lampu kilat di bawah kamera.

Tiga gambar sarung telah dikongsi dalam laman web tersebut, di mana dua daripadanya mempunyai lukisan manusia manakala sebuah lagi mempunyai gambar kucing serta cincin untuk memudahkan pegangan telefon.

Selain itu, laman web XiaomiUI.net pula telah berkongsi rupa keseluruhan telefon tersebut, di mana ia bakal mempunyai sisi melengkung serta kamera swafoto yang berada dalam lubang punch-hole yang sangat kecil. Sebuah lagi gambar turut menunjukkan sarung lutsinar untuk Redmi K50.

Menurut laman web itu, Redmi K50 akan mempunyai kamera utama Sony IMX686 64MP, kamera ultra lebar 13MP dan kamera makro 8MP.

Setakat ini, spesifikasi yang sudah disahkan untuk Redmi K50 adalah cipset Snapdragon 8 Gen 1, pengecasan pantas 120W, bateri 4,700mAh serta penyejukan kamar wap. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Redmi K50 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Diterjemahkan daripada TechNave CN

Exit mobile version