Site icon TechNave BM

Remaja mati kebuluran selepas bermain PUBG tanpa henti selama beberapa hari

Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun di India dilaporkan telah meninggal dunia selepas bermain game PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) tanpa henti selama beberapa hari serta tidak makan atau minum sepanjang tempoh tersebut. Remaja yang berasal dari negeri Andhra Pradesh itu mengalami penyahhidratan kronik dan tidak mampu diselamatkan doktor walaupun selepas dibawa ke hospital.

Ini merupakan kejadian terbaru di dalam beberapa kes kematian melibatkan ketagihan bermain PUBG di India. Awal tahun ini, seorang lelaki berumur 25 tahun di negeri Maharashtra maut akibat strok otak selepas bermain PUBG Mobile tanpa henti dalam masa yang terlalu lama.

PUBG merupakan salah satu daripada game dalam genre Battle Royale yang amat popular pada waktu ini, selain daripada Fortnite, Call of Duty Warzone dan banyak lagi. Ketagihan bermain game menjadi semakin parah di banyak negara seperti China dan Korea Selatan, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah pun mengkelaskan ketagihan gaming sebagai sebuah penyakit yang disertakan dalam International Classification of Diseases edisi kesebelas (ICD-11).

TechNave berharap agar para pembaca mempraktikkan amalan sihat sewaktu bermain game. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: India TV

Exit mobile version