Site icon TechNave BM

Retroid Pocket perkenalkan Retroid Flip 2 untuk peminat “game” retro

Bagi peminat permainan retro, Retroid Pocket merupakan jenama yang perlu diberi perhatian. Syarikat ini menjual konsol mudah alih yang direka khusus untuk permainan retro dan model terbaru mereka ialah Retroid Flip 2. Berdasarkan pengacah yang dikeluarkan, Retroid Flip 2 hadir dengan reka bentuk yang menyerupai telefon flip.

Rekaan ini menghasilkan bentuk mirip dengan Nintendo DS namun tanpa skrin kedua di bahagian bawah. Sebaliknya, konsol ini mempunyai skrin di bahagian atas dan kawalan di bahagian bawah. Ia dilengkapi dengan dua tongkat analog, D-pad dan butang XYAB standard. Selain itu, terdapat juga butang Select, Home, Start dan Power.

Walaupun Retroid Pocket belum mengumumkan spesifikasi lengkap untuk peranti ini, konsol ini dijangka menggunakan cip Snapdragon. Sebagai rujukan, Retroid Pocket 5 yang dilancarkan akhir tahun lalu menggunakan cip Snapdragon 865 yang merupakan cip andalan Qualcomm yang dikeluarkan pada tahun 2019.

Cip ini pastinya akan menjadikan konsol ini lebih mampu milik. Walaupun Retroid Flip 2 mungkin tidak dilancarkan di Malaysia, anda masih berpeluang untuk mendapatkannya melalui platform e-dagang seperti Shopee atau Lazada. Malah, Retroid Pocket 5 juga boleh didapati di kedua-dua platform tersebut.

Apakah permainan retro kegemaran anda? Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: X Retroid Pocket

Exit mobile version