Site icon TechNave BM

Rich Communication Services (RCS) mungkin hadir di Malaysia tanpa perlu menunggu pengaktifan dari syarikat telco

Masih ingat tentang RCS? Sepintas lalu, Rich Communication Services (RCS) merupakan sistem khidmat pesanan ringkas yang telah diperkenalkan oleh Google. Celcom merupakan syarikat telco pertama yang menerima sistem RCS secara rasmi pada bulan Mei lalu. RCS mungkin kelihatan sama seperti sistem iMessage Apple, tetapi RCS merupakan satu platform khidmat pesanan ringkas lain yang menyokong semua peranti dan telco. Walau bagaimanapun, pihak telco perlu mengaktifkan sistem ini secara rasmi terlebih dahulu.

Terkini, GIZMODO menyatakan bahawa pengguna peranti Android di Amerika Syarikat boleh mendapatkan RCS tidak mengira apa pun jenis rangkaian atau telco yang digunakan. Sebelum ini, syarikat telco dan rangkaian didapati kurang rancak dalam mengaktifkan RCS oleh kerana keperluan untuk mengemaskini rangkaian dan perisian. Namun, proses kelancaran penggunaan RCS kini dipertingkatkan dengan membenarkan pengguna sendiri memilih RCS secara terus. Pengguna cuma perlu memuat turun aplikasi Google Messages dan Carrier Services.

Walau bagaimanapun, RCS hanya boleh digunakan oleh pengguna yang memilih RCS sahaja. Ini bermakna, anda tidak boleh menghantar mesej kepada pengguna yang tidak mengaktifkan RCS. Tambahan pula, peningkatan RCS yang boleh dipilih secara terus tidak kira telco apa yang anda gunakan masih belum sampai di Malaysia. GIZMODO turut menyatakan tentang pengguna antarabangsa lain yang mungkin perlu menunggu agak lama untuk menikmati RCS secara terus, bergantung kepada tempat. Mungkin apabila RCS sudah boleh digunakan secara terus di Malaysia, kita akan beralih kepada RCS?

Suarakan pendapat anda di ruang komentar dan nantikan berita teknologi terkini di Technave.com.

Sumber

Exit mobile version