Site icon TechNave BM

Rindu pejabat? Apa kata anda bawa bunyi-bunyi pejabat ke dalam rumah

Nampaknya majoriti rakyat Malaysia sudah pun tidak hadir ke pejabat hampir sebulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan pada 18 Mac. Jika anda sudah pun merindui pejabat anda, mungkin kini anda boleh memperkenalkan suasana persekitaran pejabat ke dalam kediaman anda sambil bekerja dari rumah.

Sebuah laman web bernama imisstheoffice kini membolehkan anda untuk menciptakan suasana pejabat dengan menghasilkan audio yang kerap didengari di dalamnya. Sebaik sahaja anda buka laman web ini, anda boleh dengar bunyi penghawa dingin, klik pada tetikus komputer, perbincangan daripada rakan sekerja, mesin fotostat, kertas diselak, pintu dibuka dan sebagainya.

imisstheoffice dibina oleh Kids Creative Agency, sebuah agensi dari Zurich, Switzeland dan Berlin, Jerman. Bunyi-bunyi perbincangan yang anda dengar dalam laman web ini terdiri daripada bahasa-bahasa Eropah.

Anda juga boleh klik pada beberapa objek spesifik untuk memainkan bunyi khas daripada objek tersebut. Selain itu, anda boleh menaikkan bilangan ‘rakan kerja’ anda sehingga 10 orang untuk mensimulasi jumlah bunyi yang dihasilkan.

Adakah anda akan mengakses laman web ini apabila anda akan bekerja dari rumah pada minggu depan? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version