Pada minggu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh keramat untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 November 2022. Pastinya ramai di kalangan rakyat Malaysia kini sedang merancang perjalanan dan logistik untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada hari tersebut.
Sungguh pun begitu, masih ramai yang risau berkenaan risiko banjir yang mungkin melanda pada musim pilihan raya ini. Bagi membantu anda menjejak perkembangan tentang banjir dan PRU dengan lebih mudah, ini adalah dua perkhidmatan yang bernilai untuk anda:
MySPR Semak
Jika anda masih belum mengetahui butiran anda sebagai pengundi, anda boleh semak dengan mudah dalam laman web MySPR Semak (https://mysprsemak.spr.gov.my/). Anda hanya perlu masukkan nombor kad pengenalan atau lain-lain dokumen identiti berkaitan, serta menaip capthca yang tertera pada skrin.
Semua rakyat Malaysia yang layak mengundi telah pun didaftarkan secara automatik ke dalam pangkalan data SPR.
Satu perkara menarik untuk PRU15 adalah jumlah pengundi kali pertama yang lebih besar berbanding pilihan raya sebelumnya. Ini adalah kerana umur layak mengundi telah diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun, dan ini menyebabkan peningkatan jumlah pengundi sekitar 5 hingga 7 juta orang.
MySPR Semak juga akan menunjukkan calon parlimen dan Dewan Undangan Negeri, namun senarai ini masih belum disediakan. Jika anda lebih gemar menggunakan telefon pintar, terdapat juga aplikasi MySPR Semak untuk Android dan iOS namun ia tidak berfungsi dengan baik seperti dalam versi laman web.
Public InfoBanjir
Selain menyemak pusat mengundi, anda juga dinasihatkan untuk mengambil peduli tentang risiko banjir di situ. Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan bahawa hujan lebat akan melanda dalam minggu-minggu mendatang dan terdapat kemungkinan untuk banjir.
Musim tengkujuh dijangka akan bermula sekitar pertengahan bulan November ini, iaitu tempoh yang sama dengan tarikh PRU15. Oleh itu, anda perlu tahu jika pusat undian anda menghadapi risiko banjir atau tidak.
Untuk berbuat demikian, anda boleh layari laman web Public InfoBanjir (https://publicinfobanjir.water.gov.my/?lang=en) untuk semak paras air serta sebarang makluman hujan. Butirannya boleh memaklumkan anda tentang amaran awal atau risiko banjir di tempat tinggal atau pusat mengundi.
Seperti laman web MySPR Semak, Public InfoBanjir juga mempunyai aplikasi untuk Android dan iOS.
Kami berharap maklumat ini boleh membantu anda menghadapi musim “pilihanraya banjir” ini. Beritahu pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Diterjemahkan daripada TechNave

