Beberapa hari lalu, tular kes seorang kanak-kanak di Malaysia cedera akibat bergaduh dengan abangnya kerana isu berkaitan permainan Roblox. Kejadian itu mencetuskan kebimbangan ramai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menekankan kepentingan melindungi kanak-kanak daripada pengaruh negatif permainan dalam talian.
Susulan itu, pihak Roblox mengumumkan akan memperkukuh ciri keselamatan dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan manusia bagi mewujudkan persekitaran permainan yang lebih selamat. Roblox juga menyatakan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam hal perkongsian data serta pematuhan kepada peraturan tempatan.
Menurut Roblox, langkah ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan ekosistem digital Malaysia kekal selamat, beretika dan membina serta dapat membantu membentuk generasi muda yang bertanggungjawab dalam alam maya. Hannah Yeoh meluahkan kebimbangan tentang kesan permainan seperti Roblox terhadap perkembangan emosi dan sosial anak muda.
Beliau menekankan bahawa dunia digital bukan sekadar untuk hiburan, tetapi juga perlu menjadi ruang yang mendidik dan membentuk sahsiah positif. Kini, Roblox memiliki lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia termasuk lebih sejuta pemain di Malaysia. Sementara itu, kerajaan Malaysia masih menilai kemungkinan mengharamkan Roblox, namun belum ada keputusan muktamad.
Negara lain seperti China, Turki, Qatar, Oman, Jordan, Iraq, Arab Saudi dan UAE telah mengharamkan permainan tersebut manakala Indonesia dan Kuwait menyekat sebahagian kandungannya. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Hannah Yeoh

