Kenderaan robot (rover) dari China yang sekarang ini telah pun mendarat di planet Marikh telah berkongsi sebuah gambar mirip swafoto yang diambil di planet tersebut.
Untuk mengambil gambar tersebut, robot bernama Zhurong itu menggunakan kamera wayarles yang telah diletakkan pada permukaan Marikh dan kemudian robot itu bergerak semula ke hadapan lensa. Zhurong telah menetapkan kedudukan kamera itu agar ia boleh “bergambar” dengan roket pendaratannya, di mana Pentadbiran Angkasa Kebangsaan China (CNSA) menyifatkan gambar itu sebagai “gambar berkumpulan”.
Zhurong turut mengambil gambar roket pendaratan tersebut yang menunjukkan landasan untuk robot itu turun daripada roket. Turut kelihatan dalam gambar ini adalah bendera China serta maskot untuk Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.
Tidak cukup dengan itu, CNSA turut berkongsi gambar suasana planet Marikh yang serba kering serta kesan pasir yang terhasil di permukaan planet tersebut daripada semburan api sewaktu roket mendarat pada 15 Mei. Zhurong kemudian diturunkan daripada roket tersebut pada 22 Mei.
Pada waktu ini, dua negara telah pun mendaratkan kenderaan robot pada planet keempat dari Matahari itu, iaitu Zhurong dari China dan Perseverance dari Amerika Syarikat. Perseverance juga telah mengambil gambar “swafoto” yang telah dikongsi oleh NASA pada bulan April.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: CNSA

