Site icon TechNave BM

Rupa dan warna Samsung Galaxy Z Flip 3 tertiris, dilengkapi skrin luaran yang lebih besar

Sebuah saluran di YouTube telah berkongsi rupa luaran telefon lipat Samsung Galaxy Z Flip 3 yang mungkin akan dilancar dalam masa beberapa bulan lagi. Saluran yang bernama Giznext memuat naik sebuah video yang menunjukan reka bentuk keseluruhan serta warna yang akan ditawarkan untuk telefon itu.

Telefon tersebut mempunyai skrin luaran yang lebih besar berbanding Galaxy Z Flip yang dilancar pada tahun lepas, di mana Z Flip 3 mempunyai skrin 1.9 inci yang meliputi sebahagian besar belakang telefon itu. Modul kameranya yang terdiri daripada dua lensa juga diletakkan di dalam skrin tersebut.

Menurut video tersebut, Galaxy Z Flip 3 akan ditawarkan dalam warna hitam, kuning, ungu, hijau, merah jambu, kelabu, merah dan biru. Ia dijangka akan dilancarkan secara antarabangsa pada 3 Ogos dan dijual pada harga USD1400 (~RM5,815).

Setakat ini, gambar yang dikongsi oleh Giznext nampak serupa dengan gambar yang telah tertiris sebelum ini. Galaxy Z Flip 3 juga dijangka akan menyokong penggunaan stilus S Pen. Telefon tersebut dilaporkan telah pun memulakan proses pengilangan pada bulan Jun jadi ia mungkin akan dilancar pada 3 Ogos, seperti yang dikatakan dalam video ini.

Setakat ini masih tiada maklumat rasmi tentang telefon lipat ini. Kongsi pendapat anda tentang maklumat ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version