Site icon TechNave BM

Rupa HONOR 50 diumumkan secara rasmi, mempunyai 2 bulatan yang menempatkan 4 kamera

Siri telefon pintar HONOR 50 dijadualkan untuk dilancar pada 16 Jun ini di China dan beberapa maklumat tentang telefon tersebut telah pun tertiris, termasuk gambar-gambar awal yang menunjukkan rupa telefon itu. Kini, HONOR telah memperkenalkan rupa luaran HONOR 50 secara rasmi serta poster pelancarannya.

Seperti dalam gambar yang telah tertiris sebelum ini, permukaan belakang telefon tersebut mempunyai dua bulatan, di mana satu bulatan dilengkapi sebuah kamera utama manakala bulatan kedua mempunyai kamera tambahan sebanyak dua atau tiga kamera, bergantung kepada varian HONOR 50.

Gambar telefon yang dikongsi oleh HONOR mempunyai empat kamera keseluruhan di belakangnya, menunjukkan bahawa ia mungkin adalah varian tertinggi iaitu HONOR 50 Pro+. Sementara itu, HONOR 50 dan HONOR 50 Pro pula mungkin akan dilengkapi tiga kamera sahaja di belakang.

HONOR juga telah melantik duta untuk telefon tersebut iaitu Gong Jun (龚俊), seorang pelakon terkenal dari China. Siri HONOR 50 dijangka akan dilengkapi spesifikasi andalan seperti cipset Snapdragon 888, pengecasan pantas 100W dan kamera 100MP. Peminat HONOR di seluruh dunia juga menantikan jika telefon ini akan menyokong penggunaan Google Mobile Services (GMS) memandangkan syarikat itu tidak lagi berada di bawah naungan HUAWEI.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version