Site icon TechNave BM

Rupa siri tablet Samsung Galaxy Tab S8 tertiris, tampilkan skrin dengan “notch” petak

Siri tablet Samsung Galaxy Tab S8 dijangka akan dilancar bersama siri telefon pintar Samsung Galaxy S22 pada awal 2022, yang terdiri daripada Galaxy Tab S8, Galaxy Tab S8+ dan Galaxy Tab S8 Ultra. Kini, pengkhabar berita teknologi OnLeaks telah berkongsi beberapa imej janaan komputer (CAD) untuk ketiga-tiga tablet tersebut.

Galaxy Tab S8 nampak serupa dengan Galaxy Tab S7, dengan sempadan bezel nipis pada keseluruhan skrin LCD yang berukuran 11 inci dan mempunyai kadar segar semula 120Hz. Terdapat juga ruang magnetik di belakang untuk melekatkan stilus S pen, mankala rupa bonggol kamera di belakang juga adalah sama dengan kamera 13MP+5MP. Butang kuasa di bahagian sisi pula akan berfungsi sebagai pengimbas cap jari.

Untuk Galaxy Tab S8 Ultra, ia akan mempunyai skrin berukuran 14.6 inci iaitu yang paling besar dalam siri Tab S8, namun sempadan bezelnya lebih nipis daripada varian lain. Ia mempunyai empat pembesar suara namun tidak mempunyai bicu audio 3.5mm.

Pada bahagian hadapan Galaxy Tab S8 Ultra, ia mempunyai takuk (notch) berbentuk petak di bahagian atas yang menempatkan satu kamera swafoto. Walau bagaimanapun, imej CAD ini bukanlah melambangkan produk akhir jadi takuk tersebut mungkin akan ditukarkan kepada lubang punch hole apabila ia dilancar.

Spesifikasi penuh untuk semua tablet Galaxy Tab S8 telah pun tertiris sebelum ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tablet ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version