Site icon TechNave BM

Rupa telefon andalan HONOR Magic3 tertiris, dikuasakan cipset Snapdragon 888+ dan 5 kamera

Hanya tinggal beberapa jam sebelum acara pelancaran peranti HONOR di China bermula, beberapa gambar telah muncul di mana ia menunjukkan rupa telefon yang mirip dengan sebuah telefon HUAWEI premium. Gambar tersebut dilaporkan oleh AnTuTu dan terdapat komen daripada Digital Chat Station yang sebelum ini membocorkan spesifikasi susunan kamera untuk model HONOR akan datang.

Melalui gambar di atas, dilaporkan bahawa peranti tersebut merupakan salah sebuah telefon pintar andalan siri HONOR Magic3. Bahagian belakang telefon tersebut mempunyai bulatan besar dengan lima kamera didalamnya.

Reka bentuk lima kamera yang terdapat pada HONOR Magic3 ini serupa dengan HUAWEI Mate 40 Porsche Design. Bahagian belakang peranti yang tertiris ini mempunyai garis reka bentuk yang sama dengan Mate 40 Porsche Design tetapi masih tidak jelas tentang model sebenarnya.

Walaupun reka bentuknya serupa dengan HUAWEI Mate 40 Porsche Design, model HONOR Magic3 ini tidak dilengkapi sensor yang sama pada telefon itu. Laporan yang tertiris mengatakan bahawa HONOR Magic3 ini akan mempunyai kamera utama 50MP dengan sensor 1/1.28″, kamera periskop 64MP dengan zum optik 3.5X yang mampu melakukan zum digital 100X, kombinasi kamera ultra-lebar, makro, dan sensor kedalaman.

HONOR Magic3 akan dikuasakan oleh cipset Snapdragon 888+ dan dalam perkongsian baru-baru ini melibatkan kerjasama IMAX, menunjukkan kamera belakang telefon ini diilustrasikan sebagai gulungan filem. Siri HONOR Magic3 akan diumumkan pada waktu terdekat dan ia mungkin menjadi pencapaian yang terbaik selepas keluar daripada HUAWEI.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon andalan HONOR Magic3 ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version